Petikan dari blog : http://sebenardiri.blogspot.com/2006/12/hikayat-nenda.html
Wednesday, December 20, 2006
HIKAYAT NENDA
NAMA nenda Siti Seri Kemboja, dari susur galur keturunan srikandi Melayu yang tidak ditinta namanya di dada-dada suhuf sejarah – Siti Cempaka Sari. Usianya hampir mencecah tujuh puluhan. Dia adalah nenda sebelah bonda hamba. Dibawa dan dipeliharanya hikayat ini dari generasi ke generasi.
Asalnya nenda tidak mahu menceritakan. Khalayak sukar mahu percaya katanya. Dia tidak gusar diketawa, cuma gulana jika hikayat keturunannya dinista. Namun apakala hamba meyakinkan, lembut jua hatinya. Katanya perlu juga dia menceritakan selagi usia masih bersisa, selagi punya masa sebelum ajal menjelma. Nenda berharap amat agar hamba dapat memelihara dan menyampaikan hikayatnya yang terjadi pada hari penaklukan Melaka. Dia pun mula bercerita dengan bersungguh dan mata bersinar cahaya.
II
Siti Cempaka Sari, langkah jalannya cantik diatur satu-persatu. Wajahnya bujur sirih bersama kening lebat dengan alis lentik memikat. Pipinya bak pauh dilayang dengan dahi yang bersih mulus. Bibirnya merah dengan satu tahi lalat manis menawan di atas bibir sebelah kanan. Diungkapkan, siapa yang melihatnya luruhlah hati, nadi bisa berhenti berdenyut, pawana pula boleh berhenti berhembus.
Dia anak bongsu kepada Tun Ali seorang pedagang tersohor negeri Melaka berketurunan bangsawan yang acap keluar masuk negeri. Kakak sulungnya sudah berkahwin dan bermastautin di Pahang mengikut suami. Bondanya Siti Fatimah adalah dari golongan orang kebanyakan yang kuat beragama. Jelas Tun Ali memilih isteri bukan berdasarkan keturunan tetapi yang beriman menjadi keutamaan. Cik Siti Cempaka Sari diasuh dengan nilai-nilai dan ilmu agama. Dia boleh berpencak dan otaknya geliga sehingga berjaya menguasai lima bahasa. Sahsiahnya unggul dan penuh susila. Apakala keluar rumah dia akan berkelubung kerudung. Kekal dan istiqamah memelihara aurat dan syariat.
Dia telah ditunangkan dengan Tun Muhammad seorang anak yatim piatu. Tun Muhammad dipelihara dan dididik Tun Ali sejak kecil dan menjadi teman sepermainan Siti Cempaka Sari. Dia mahir berpencak, berdada bidang dan bertampang tampan juga seorang yang tawaduk. Dia lebih suka menyibukkan diri dengan urusan menuntut ilmu dan mengikut Tun Ali berdagang keluar masuk negeri. Sejak kecil dia mengenali dan mengkagumi Siti Cempaka Sari tetapi dia sentiasa ingat status diri.
Kala Tun Muhammad pulang ke Melaka selepas berdagang selama beberapa purnama dia terus berkirim salam buat Siti Cempaka Sari melalui Tun Ali. Apakala menerima salam, hati Siti Cempaka Sari berbunga-bunga bak kiambang mekar pada pagi hari. Terbungkamlah duka, terubatlah rindu di hati. Meski jiwa berbunga cinta tapi mereka kekal memelihara adat dan agama. Keputusan keluarga dan kerabat telah sepakat - mereka akan disatukan selepas satu purnama.
III
Sementara itu, bahtera tua Flor de la Mar membelah gagah samudera Selat Melaka. Membawa bersama sekalian ramai soldadu Portugis diketuai wizurai berperut boroi Alfonso de Albuquerque. Tujuan mereka bulat dan nekad - menakluk Melaka atau kembali ke Lisbon tanpa nyawa. Tetapi orang Melaka ketika itu alpa leka. Tidak menyedari bencana dan musibah bakal menimpa. Maralah Feringgi mahu memusnah dan menakluk kerajaan melayu yang pernah masyhur dan gah di jagat raya.
Maka gegak-gempitalah satu Melaka bila bahtera-bahtera Portugis hampir tiba ke pelabuhan Melaka. Barulah orang Melaka tahu tujuan Portugis datang bukan untuk berdagang tetapi dengan tujuan berperang. Sultan mengarahkan pahlawan-pahlawan Melaka dan tentera upahan bersiap siaga. Tun Muhammad dan Tun Ali turut dipanggil Laksamana Melaka untuk memimpin sejumlah tentera. Siti Cempaka Sari mengetuai rakan-rakannya mengambil keputusan berkubu di Masjid Melaka, mahu bersama berjuang mempertahankan nusa dan agama.
Kala itu soldadu Alfonso de Albuquerque ligat membakar Istana Melaka. Sebelum itu mereka telah merompak sekian banyak harta bernilai istana. Jambatan Melaka pula sudah ranap hancur. Keping-keping kayu dan batang pasak guna mendirikan jambatan itu dahulu bertaburan di tubir Sungai Melaka; menemani kujur tubuh pendekar-pendekar Melaka yang bergelimpangan gugur syahid. Bersungguh metah mereka mahu menawan Melaka.
Jumantara Melaka sudah gelap dilitupi kepul-kepul asap, beropol-ropol naik menghitami udara. Masjid Melaka ketika itu sudah jatuh ke tangan Portugis. Sekelompok Muslimah yang berada di dalam masjid itu membantu merawat pendekar-pendekar Melaka yang cedera telah berjaya ditawan Portugis. Di dalam kelompok itu, sembilan orang semuanya, kebanyakannya adalah perempuan istana manakala yang lain sudah melarikan diri. Cuma ada seorang yang kekal tegar di posisi, dia adalah Cik Siti Cempaka Sari.
Sembilan orang gadis Melayu yang ditawan itu dibawa menghadap Albuquerque. Wizurai itu menyeluruhi satu persatu wajah - wajah yang gementar dan pucat. Kerudung yang menutupi kepala dan wajah direntap seorang demi seorang. Siti Cempaka Sari adalah orang yang terakhir. Dia melawan tetapi tidak berjaya menandingi tenaga soldadu - soldadu yang bertubuh agam dan sasa itu.
Kala kerudungnya direntap, kejelitaan asli gadis Melayu itu terserlah. Soldadu-soldadu Portugis yang mengitarinya terbuntang mata. Nafsu masing-masing bergalau-gelodak. Terkesima dek kejelitaan Siti Cempaka Sari yang tiada tolok bandingnya. Albuquerque wizurai berperut boroi itu pura-pura tidak terpikat. Dia memarahi pula tentera-tenteranya yang terjugil mata sembari mengarahkan gadis-gadis tawanan itu dihimpunkan terus di bahtera Flor de la Mar. Mereka akan dibawa belayar ke Lisbon untuk dipersembahkan sebagai hamba kepada Raja Manuel di Portugal.
IV
Beberapa orang pengawal dan hulubalang diketuai oleh Tun Muhammad sedang rancak menghalang kemaraan soldadu Portugis untuk membunuh sultan. Serangan senjata mereka berjaya dipatahkan dengan menggunakan meriam, sumpitan dan tombak-tombak beracun. Sultan Mahmud, menantunya dari Pahang dan Sultan Ahmad telah berjaya berundur ke pinggir kota.
Tun Muhammad kekal bertahan sehingga tinggal hanya seratus lima puluh orang pendekar yang tampak sudah keletihan. Askar Portugis pula semakin ramai setelah mendapat bantuan. Dia mengarahkan pendekar-pendekar berundur mengikut sultan ke pinggir kota, tetapi disanggah oleh Daeng Zakir seorang pendekar berbangsa Bugis yang menjadi nadim setia Tun Muhammad. Katanya, biar mereka tekal bertahan di situ melindungi sultan atau syahid mempertahankan agama dan nusa.
Dari jauh Tun Muhammad melihat kelibat beberapa Muslimah dikawal rapi oleh sejumlah tentera Portugis menuju ke pelabuhan Melaka. Lekas dia menangkap satu wajah di kalangan mereka. Siapa lagi jika bukan buah hati, pengarang jantung kesayangannya, Siti Cempaka Sari. Tun Muhammad terpempan. Dia semakin galak membedil Feringgi dengan meriam sehingga jatuh ke bumi tanjak di kepala. Dia mengarahkan bebola api dilontarkan dengan lebih banyak. Seboleh mungkin dia mahu menyelamatkan kekasih kesayangannya. Laungan Daeng Zakir suruh bersabar tidak diendahkan.
Bebola api yang bergentayangan tidak mampu menyekat kemaraan Portugis. Mereka mengatur tentera di jihat kiri dan kanan guna mengepung dan mengasak pendekar Melaka bertalu-talu serta membawa bersama sebegitu banyak bekal peluru dan meriam. Mereka cekatan berlari sambil melepaskan berdas-das tembakan ke arah tentera Melaka.
Tun Muhammad keberangan. Dia semakin kehilangan sabar. Pertama, agamanya tidak akan dibenarkan ternoda. Kedua, nusanya tidak akan dibenarkan dijarah. Ketiga, talian kasih antaranya dan Siti Cempaka Sari akan kekal dipelihara. Biar atma menjadi taruhan, meski nyawa bercerai dari badan.
Tun Muhammad bingkas dari tempat perlindungan. Dia mencabut keris, berlari berpencak ke arah sekelompok tentera Portugis di sebelah kiri. Menghayun keris, mencekak seorang Feringgi dan membenam kerisnya santak menembusi usus. Barisan tentera Portugis di situ menjadi kucar-kacir. Daeng Zakir mengarahkan pahlawan Melaka membedil meriam lebih galak demi melindungi Tun Muhammad. Pendekar Melaka yang hanya tinggal seratus lebih itu berjaya mengasak Feringgi santak ke pelabuhan.
Tun Muhammad semakin rancak berpencak tetapi tidak menyedari seorang Feringgi bersiap sedia dengan senapang ingin menembaknya dari arah belakang.
Dammm! Darah merah likat mengalir. Peluru Portugis menjunam ke dada sebelah kanan Tun Muhammad. Tetapi semangatnya mengatasi segala. Dengan semangat menggila dia meluru pula ke arah askar Portugis yang menembaknya.
Dammm! Sebutir lagi peluru Feringgi membenami dada. Langkahnya mati. Dia rebah. Mulutnya kumat-kamit melafaz, "Allah, Allah, Allah."
Daeng Zakir hiba memerhati dalam genangan air mata. Demi agama dan nusa, rafik akrabnya telah syahid terkorban nyawa. Dari jauh sekian ramai tentera benggali putih mara lagi ingin membantu pasukannya. Daeng Zakir tiada pilihan, melainkan mengarahkan pendekar Melaka yang lain berundur mengikut sultan ke pinggir kota.
V
Siti Cempaka Sari diasingkan ke dalam sebuah kamar yang indah dan mewah. Dari perbualan soldadu-soldadu Feringgi tahulah dia bahawa itu adalah kamar nakhoda. Semuanya di atas arahan Albuquerque. Mujur Siti Cempaka Sari mempunyai kemahiran berbahasa. Adapun Siti Cempaka Sari di benaknya sudah merancang sebuah muslihat. Dia sudah tahu kelemahan besar tentera benggali putih itu - nafsu. Makarnya dirancang dan disusun satu persatu. Otak geliga dan wajah jelitanya digunakan dengan bijaksana.
Seorang tentera Portugis membuka pintu kamar. Siti Cempaka Sari melihat dengan wajah menggoda sambil menggamit-gamit jemari halusnya. Feringgi itu nyata tergoda dan terus mara mahu merangkul rakus tubuh montok Siti Cempaka Sari. Dia lekas menyabarkan dengan mengarahkan askar itu membuang senjatanya dahulu. Portugis itu akur, jelas serakah nafsu telah menguasai segalanya dan dia sedang berada dalam keadaan alpa leka.
Siti Cempaka Sari mengambil kesempatan. Dia membuka langkah pencaknya dan menghayun pukulan padu pada leher Feringgi itu sehingga jatuh terjelepok. Ligat dia memintal lengan benggali putih itu sehingga tidak mampu bergerak lagi. Dia mencapai pisau pemotong buahan-buahan yang berada di atas meja kamar itu lantas mengacukannya ke dada Feringgi itu dan mengancam supaya menurut arahannya. Askar Portugis itu akur dalam pegun kerana kemahiran berbahasa dan pencak yang dimiliki Siti Cempaka Sari.
Siti Cempaka Sari berkelubung kerudung dan melindungi pisau itu dengan kain agar tidak kelihatan di pandangan. Dia mengarahkan askar Portugis itu menghala ke geladak. Di situ dia melihat kepul-kepul asap menyelubungi jumantara Melaka dan sekian ramai mayat pendekar-pendekar Melayu dan Portugis bergelimpangan di tubir pantai. Dia pantas menghala ke sana dengan niat untuk meminta bantuan pendekar-pendekar Melayu. Beberapa kali dia dipandang curiga oleh soldadu-soldadu Portugis yang lalu-lalang di geladak dan pelabuhan. Tetapi Siti Cempaka Sari bijak mengancam askar yang ditawan dengan mengatakan itu adalah atas arahan Albuquerque.
Tiba di tubir pantai, dia mengecam sekujur tubuh di kalangan mayat-mayat pendekar Melayu. Insan yang cukup akrab di hatinya – Tun Muhammad. Bibirnya bergetar, matanya bergenang air. Dia berlutut di tepi kujur tubuh kaku Tun Muhammad dengan air matanya yang sudah berjujuhan. Dia merenung mengkal ke arah askar Portugis yang ditawannya. Marah metah Siti Cempaka Sari. Gesit dia bingkas membenamkan pisau ke dada askar Feringgi itu bertalu-talu melunaskan dendam yang merajai diri. Feringgi itu jatuh tersembam ke dada bumi.
Malangnya, askar itu sempat merangkak mencapai tetuang yang ada pada mayat seorang askar Feringgi. Dia meniup kuat tetuang itu sebelum mati. Siti Cempaka Sari tidak mengendahkan lagi keadaan sekitarnya. Hanya kenangan zaman kanak-kanak bersama Tun Muhammad sehingga mereka ditunangkan berputar indah di ruang benaknya.
Dammm! Satu das tembakan menjunam ke dada. Kelihatan sebegitu ramai soldadu Portugis sedang mara ke arahnya.
Dammm! Sebutir peluru lagi menusuk menembusi jantung. Siti Cempaka Sari rebah di sebelah kujur tubuh Tun Muhammad. Dalam senyum dia menghembuskan nafas terakhir dengan hati kekal berbunga cinta. Matinya sepasang kekasih demi mempertahankan agama dan nusa.
VI
Begitulah hikayat nenda. Alhamdulillah, amanat nenda telah cucunda laksanakan. Kini, cucunda tidak lagi berminat dengan kisah cinta Juliet, ceritera cinta Mumtaz Mahal, hanya terakam di benak cucunda hikayat nenda dengan cinta Siti Cempaka Sari. Cucunda berbangga menjadi generasi keturunannya.
Benar atau tidak, hamba hanya meyakini bahawa hikayat ini telah memateri - setia pada nusa seharusnya mengatasi cinta sesama manusia. Ini bukan sahaja menjadi tanggungjawab hamba, tetapi menjadi tanggungjawab sesama. Bangsa Melayu tidak akan menjadi bangsa yang alpa leka. Agama Islam yang sekian lama ditanam-pelihara akan terus gah di jagat raya. Terima kasih nenda!

~||dalam diri itu ada atma.dalam atma itulah jiwamu yg luhur.justeru perkuatkanlah akan ia dengan ilmu dan perkemaskanlah ia dengan iman||~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan