Raden Mas: Lambang Wanita Suci
Dipetik dari laman web http://rhmm.net/2004/08/01/raden-mas/ Oleh: Rudy Herman Sinen
Disiarkan di: Majalah Sarina (Karangkraf), August 2004. In PDF (2.4MB)
Suasana di balai istana sungguh meriah. Ratu Kediri dan saudara kandungnya, Raden Kesumo Joyo Diningrat (Pangeran Agung) tersenyum sambil mendengar Mas Ayu mendodoikan puterinya yang baru dilahirkan.
Raden Seri Diningrat
nama sejati puteri darah Ningrat
tapi nanti Raden Mas panggilannya
tanda puteri arif bijaksana
Raden Mas puteri mahkota
cantiknya bagaikan purnama
Raden Mas cantik tak terperi
permata di istana Puri
Itulah sebahagian dari senikata lagu mengenai Raden Mas di dalam filem yang bertajuk Raden Mas. Senikata lagu itu menggambarkan watak dan peribadi Raden Mas sebagai seorang yang ayu dan bijaksana. Kelahirannya membawa cahaya laksana permata di Istana Puri, tampuk Kerajaan Kediri di Jawa. Seluruh rakyat meraikan kelahiran anak sulung Pangeran Agung yang mereka kasihi.
Kelahiran Raden Mas Ayu penuh dengan keriangan dan harapan, namun, tanpa disangka, kehidupan seterusnya penuh dengan dugaan dan ujian. Lahirnya di Tanah Jawa tetapi akhir hidupnya di Temasek yang ribuan kilometer jauhnya. Membawa diri dari Kediri tetapi masih diingati sehingga kini.
Nama Raden Mas sangat terkenal di kalangan masyarakat di rumpun Melayu ini. Tanyakan sahaja kepada orang-orang di Malaysia, Singapura dan Indonesia mengenai nama Raden Mas, sudah tentu mereka tahu atau paling tidak, pernah mendengar cerita dari orang tua-tua. Malah, pernah ada serombongan pelancong dari London yang datang ke Makam Raden Mas setelah diberitahu akan kewujudan Makam itu di Singapura.
Ada yang mengatakan ia hanya satu lagenda atau cerita yang direka oleh orang dahulu kala. Mungkin ya atau mungkin tidak. Ini disebabkan tidak banyak fakta sejarah yang kukuh yang dapat mendukung kisah Raden Mas ini. Dalam sejarah Melayu juga mungkin tidak ada diperkatakan mengenai Raden Mas ini secara terperinci.
Namun, yang pasti, ramai tahu bahawa ada sebuah kuburan di Singapura yang terletak di Telok Blangah dikenali sebagai Makam Raden Mas. Hanya inilah satu-satunya bukti nyata mengenai kewujudan seorang puteri raja dari Tanah Jawa bergelar Raden Mas di Temasek.
Terpencil tapi masyhur
Makam Raden Mas terletak di kaki bukit Mount Faber di kawasan Telok Blangah. Ia hanya kira-kira 15 minit memandu dari Stesen Keretapi KTMB Tanjong Pagar. Kawasannya di luar kawasan bandar dan perumahan. Ia terpencil dan dikelilingi dengan pokok-pokok tinggi.
Sungguhpun lokasinya terpencil, namanya tersohor dari zaman berzaman di seluruh pelusuk rumpun Melayu. Malah, nama Raden Mas diabadikan di beberapa tempat di Singapura. Sebagai contoh, ada sebuah kawasan undi (constituency) di tempat Makam Raden Mas yang dipanggil Radin Mas Constituency, sebuah sekolah yang dinamakan Radin Mas Primary School, sebuah masjid Masjid Radin Mas (sudah dirobohkan) serta sebuah kelab masyarakat Radin Mas Community Club.
Begitu terkenalnya nama Raden Mas, tetapi siapakah sebenarnya puteri raja ini, bagaimana pula seorang puteri dari Jawa boleh sampai ke Pulau Temasek yang ribuan kilometer jauhnya dan apakah keistimewaannya sehingga makamnya wujud sehingga hari ini? Inilah persoalan yang sukar dicari jawapannya kerana tidak ada sumber asli yang dapat dijadikan sandaran kukuh mengenai kisah Raden Mas ini.
Jika anda bertanya kepada sesiapa pun, pasti anda akan dapat beberapa versi cerita yang berlainan mengenainya. Tarikhnya juga sukar dipastikan. Cuma yang pasti, dia hidup di zaman lebih awal dari zaman Raffles, semasa zaman kesultanan Melayu iaitu di masa masih wujudnya kesultanan di Jawa, Karimun dan Temasek.
Apa yang boleh dirumuskan ialah terdapat dua versi cerita yang selalunya diperkatakan orang. Di sini, kami akan perkatakan kedua-dua versi cerita itu, terpulanglah kepada anda untuk menilai dan membuat rumusan sendiri.
Raden Mas di layar perak
Versi pertama mengenai kisah Raden Mas ialah melalui sebuah karya filem yang diterbitkan oleh Cathay Keris pada tahun 1959. Filem itu bertajuk Raden Mas yang dibintangi oleh M Amin, Latifah Omar, Nordin Ahmad, Siput Sarawak, Mahmood June, Siti Tanjung Perak serta Shariff Medan. Filem ini pernah mendapat tayangan perdana semasa 7th Asian Film Festival pada tahun 1960 di Tokyo.
Kisah dalam filem itu bermula dengan babak yang menunjukkan Pangeran Agung di Negeri Kediri, Jawa terpikat dengan seorang penari istana, Mas Ayu, lalu mengahwininya secara rahsia. Apabila diketahui mengenai perkahwinan itu, Ratu Kediri (yang juga saudara kandung Pangeran Agung) dan Permaisuri Kediri sangat murka. Mereka murka kerana Pangeran Agung sudah merendahkan martabat keturunan darah raja Diningrat dengan mengahwini seorang penari istana.
Namun, mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana Pangeran Agung tetap dengan pendiriannya. Apabila isteri Pangeran Agung melahirkan seorang puteri, puteri itu diberi gelaran Raden Mas.
Sumpah Pangeran
Sejak itu, Permaisuri serta Raden Wanosekoro, salah seorang pembesar istana yang pernah menggoda Mas Ayu, berdendam dengannya. Satu hari, Permaisuri Kediri bersubahat dengan Raden Wanosekoro untuk membunuh Mas Ayu. Tetapi mereka mesti membuat sebab supaya Pangeran Agung tidak ada di istana. Maka Pangeran Agung diperintahkan untuk pergi memburu kijang kerana kononnya Permaisuri ingin makan daging kijang. Semasa Pangeran Agung keluar memburu bersama rombongannya, Raden Wanosekoro mengamuk dan membakar rumah Pangeran Agung. Dia juga menikam Mas Ayu sehingga mati.
Pangeran Agung sangat terperanjat melihat rumahnya dijlat api. Dia terus masuk ke biliknya untuk menyelamatkan Raden Mas dan isterinya. Mujur, Raden Mas tidak apa-apa tetapi Mas Ayu sempat memberitahu Pangeran Agung mengenai angkara Raden Wanosekoro sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Setelah bertarung satu lawan satu dengan Raden Wanosekoro, akhirnya Raden Wanosekoro yang busuk hati itu tewas dibunuh oleh Pangeran Agung. Pangeran Agung sangat sedih dengan apa yang berlaku dan menganggap beliau telah dikhianati oleh kerabatnya sendiri.
Beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Kediri bersama Raden Mas buat selama-lamanya. Walaupun dipujuk oleh Dandiar, Ketua Angkatan Perajurit Kediri, Pangeran Agung tetap mahu membawa diri. Beliau bersumpah, “pasir yang melekat di kakiku, aku haramkan (ikut bersamaku)”. Dan Pangeran Agung juga membuang segala identiti di-rajanya dan hanya mahu dikenali sebagai orang biasa.
Pangeran Agung merantau dari satu kawasan ke satu kawasan. Akhirnya, beliau sampai di Karimun dan menetap di sana selama 15 tahun. Sehingga waktu itu, penduduk di sana hanya mengenalinya sebagai orang biasa.
Raden Mas pun sudah berusia 15 tahun tetapi masih tidak diberitahu akan asal-usul darah rajanya. Apabila Sultan di Karimun mendapat tahu siapakah Pangeran Agung yang sebenarnya, dia mencalonkan anaknya, Tengku Halijah, sebagai isteri Pangeran Agung.
Pada awalnya, Pangeran Agung tidak mahu kahwin lagi kerana dia mahu memberi perhatian secukupnya kepada Raden Mas. Dalam masa yang sama, dia juga sedar Raden Mas juga perlukan kasih-sayang seorang ibu.
Lalu kahwinlah mereka dan Raden Mas pun mendapat seorang ibu tiri. Tidak lama kemudian, Tengku Halijah pun melahirkan seorang putera yang diberi nama Tengku Chik.
Berpindah ke Temasek
Satu hari, Sultan memerintahkan agar Pangeran Agung berpindah ke Temasek. Baginda Sultan, Pangeran Agung, Tengku Halijah, Raden Mas, Tengku Chik dan rombongan Sultan pun berangkat ke Temasek.
Namun, kebahagiaan dan kasih sayang ibu yang diharapkan tidak dapat dikecapi oleh Raden Mas. Rupanya, Tengku Halijah sangat bencikan Raden Mas. Dia cemburukan perhatian yang Pangeran Agung curahkan kepada Raden Mas melebihi kepada dirinya.
Lalu, Raden Mas menjadi mangsa dendam Tengku Halijah. Dia dimarahi, dicaci dan dipukul serta disuruh membuat kerja-kerja berat oleh Tengku Halijah. Semua ini dilakukan tanpa pengetahuan Pangeran Agung. Lama-kelamaan, dendam kesumat Tengku Halijah tidak dapat dikawalnya sehinggalah dia sendiri memfitnah Pangeran Agung mahu membunuh Tengku Chik. Tanpa usul periksa, Sultan mempercayai tuduhan itu dan memenjarakan Pangeran Agung di dalam sebuah perigi buta.
Nasib Raden Mas bak jatuh ditimpa tangga. Sudahlah dia tidak tahu di mana bapanya menghilang, dia semakin disiksa oleh ibu tirinya. Sultan pula menitahkan agar Raden Mas dikahwinakan kepada Tengku Bagus, adik Tengku Halijah. Raden Mas terpaksa menurut perintah Sultan walaupun dia tidak menyukai Tengku Bagus.
Di hari pernikahannya, rombongan Pangeran Agung dari Kediri, yang diketuai oleh Dandiar, juga tiba. Apabila Imam bertanya di manakah Pangeran Agung supaya pernikahan dapat dijalankan, barulah Tengku Chik membuka rahsia bahawa Pangeran Agung dipenjarakan di dalam perigi buta.
Semua yang hadir terperanjat mendengar berita itu. Dengan marah, Dandiar bersemuka dengan Sultan dan mengugut akan menuntut bela. Lantas, dia meminta Tengku Chik untuk membawanya ke tempat Pangeran Agung.
Raden Mas amat terperanjat besar apabila melihat Pangeran Agung dipapah oleh Dandiar masuk ke istana. Keadaan Pangeran Agung sangat lemah dan hampir mati. Dalam keadaan begitu, Raden Mas tetap sabar dan memujuk ibu tirinya, Tengku Halijah, supaya minta maaf dari Pangeran Agung. Tengku Halijah tetap berdegil dan dengan angkuh, Tengku Halijah bergegas meninggalkan balai istana.
Raden Mas mengejar Tengku Halijah dan merayu agar dia meminta maaf dari Pangeran Agung. Tengku Halijah menolak Raden Mas. Malangnya, Raden Mas jatuh dan mati akibat tercucuk sanggul di kepala.
Sedang Tengku Halijah meninggalkan balai istana, tiba-tiba, bunyi berdentum dan petir menyambar Tengku Halijah. Dia rebah dan mati di pintu balai istana. Tidak lama kemudian, Pangeran Agung pun meninggal dunia.
Huru-hara di istana
Dandiar lantas mengamuk untuk menuntut bela atas kematian Pangeran Agung. Terjadilah huru-hara di istana. Dandiar bertarung dengan Tengku Bagus. Akhirnya, Tengku Bagus tewas dan ditangkap.
Keadaan menjadi semakin cemas kerana Dandiar mahu membakar istana. Tiba-tiba, Tengku Chik keluar dari istana lalu bertanyakan Dandiar kepada siapakah dia harus ikut jika Ninda Sultannya dibunuh. Mendengarkan kata-kata Tengku Chik yang bijaksana itu, Dandiar menjadi lembut hati.
Sultan meminta maaf dan menyesal atas apa yang berlaku. Dandiar juga bersetuju berdamai tetapi dengan bersyarat. Dandiar mahukan Sultan berjanji untuk mengebumikan jenazah Pangeran Agung dan Raden Mas dengan pengebumian di-raja serta menabalkan Tengku Chik menjadi Sultan Karimun apabila sudah sampai usianya.
Begitulah kisah kehidupan Raden Mas yang dipaparkan melalui filem Raden Mas. Filem ini menyusuri kehidupan Pangeran Agung di Kediri, sehinggalah beliau berpindah ke Temasek, menemui ajalnya serta semasa huru-hara yang mengakibatkan pertumpahan darah di istana.
Jika kisah dari karya filem ini boleh dijadikan sandaran sejarah, ada kemungkinan Makam Raden Mas diingati pada waktu itu kerana beliau adalah puteri raja dari luar negeri Temasek yang mangkat di Temasek serta diberikan pengebumian di-raja. Tambahan lagi, Makam Raden Mas mengingatkan mereka akan peristiwa hitam yang berlaku di istana.
Namun, banyak lagi persoalan yang masih menjadi tanda-tanya. Di antaranya, di mana pula kubur Pangeran Agung kerana logiknya beliau disemadikan bersebelahan dengan Raden Mas? Dan mengapa pula beliau tidak diingati sepertimana anakandanya?
Versi kedua
Versi kedua kisah Raden Mas ada sedikit kelainan dari filem tersebut. Kisahnya seperti berikut:
Pada zaman dahulu di Tanah Jawa, tinggal seorang Sultan bersama adiknya yang bernama Pangeran Adipati Agung. Pangeran, seorang yang berani dan gagah, disukai oleh rakyat jelata.
Pada suatu hari semasa majlis keramaian di istana, Pangeran terpikat dengan seorang penari istana yang cantik. Beliau mahu berkahwin dengan penari itu tetapi tidak dipersetujui oleh abangnya. Abangnya menganggap si penari itu hanya orang kebanyakan dan tidak setaraf dengan mereka. Namun, Pangeran tetap dengan keputusannya untuk berkahwin dengan wanita penari itu. Perkahwinan mereka menghasilkan seorang puteri yang jelita. Puteri itu diberi nama Raden Mas Ayu.
Apabila Sultan mengetahui mengenai perkahwinan itu, baginda murka lantas merancang untuk memutuskan perhubungan mereka. Baginda menitahkan agar adiknya dihantar ke medan perang di luar negara. Semasa ketiadaan Pangeran, baginda mengarahkan agar rumahnya dibakar. Isteri Pangeran mati dalam kebakaran itu tetapi Raden Mas sempat diselamatkan oleh seorang pengikut setia Pangeran.
Alangkah terkejutnya Pangeran bila mendapat tahu akan angkara Sultan. Dengan perasaan sedih atas kematian isterinya dan benci terhadap Sultan, beliau bersama Raden Mas lari meninggalkan Jawa menuju ke Temasek.
Diserang lanun
Pangeran Adipati menetap di kawasan Telok Blangah. Mereka tinggal dengan aman sehinggalah pada satu hari perkampungan mereka diserang sekumpulan lanun. Pangeran menentang lanun-lanun dengan tangkas dan berani. Akhirnya, lanun-lanun dapat ditumpaskan. Oleh sebab ketangkasannya, Pangeran dianggap wira.
Sultan Singapura gembira dan menjemput Pangeran menghadapnya di istana. Apabila Sultan mendapat tahu asal-usul sebenar Pangeran, baginda bercadang mengahwinkan Pangeran dengan anak perempuannya. Pangeran menerima pelawaan Sultan kerana memikirkan inilah peluang untuk Raden Mas mendapat kasih sayang seorang ibu.
Pangeran Adipati dikurniakan seorang putera, Tengku Chik. Malangnya, perkahwinan mereka tidak mencapai kebahagiaan kerana isteri Pangeran cemburu dengan perhatian yang diberikan oleh Pangeran kepada Raden Mas. Perasaan cemburu itu menghantui dirinya sehingga isteri Pangeran merancang untuk membunuh Pangeran dan Raden Mas.
Isteri Pangeran meminta bantuan anak saudaranya, Tengku Bagus. Tengku Bagus memang ingin memperisterikan Raden Mas. Tetapi Raden Mas tidak menyukainya kerana sifat buruknya. Tengku Bagus mengatur langkah untuk menipu Pangeran. Akhirnya, Pangeran termakan dengan tipu muslihat Tengku Bagus sehinggalah beliau dipenjarakan dalam sebuah perigi buta.
Bagi isteri Pangeran, inilah peluang baginya untuk memaksa Raden Mas mengahwini Tengku Bagus. Oleh kerana, Raden Mas memikirkan akan keselamatan bapanya, dia pun terpaksa bersetuju berkahwin dengan Tengku Bagus.
Bapa sudah mati
Pada hari pernikahan, Imam bertanya kepada Raden Mas jika dia sudah meminta izin dari bapanya untuk berkahwin. Oleh kerana takut bapanya dibunuh, Raden Mas berbohong dan mengatakan bapanya sudah mati. Tiba-tiba, Tengku Chik memecahkan rahsia di mana Pangeran dipenjarakan.
Setelah rahsia terbongkar, Pangeran dengan cepat diselamatkan dari meringkuk di dalam perigi buta. Tengku Bagus yang jahat itu hendak membunuh Pangeran dengan keris. Malangnya, keris itu menikam Raden Mas pula. Raden Mas meninggal di dalam dakapan bapanya.
Lantas, Tengku Bagus ditangkap oleh pengawal. Isteri Pangeran ketakutan dan hendak melarikan diri. Tiba-tiba, langit menjadi mendung dan petir menyambar isteri Pangeran yang sombong itu.
Peribadi Raden Mas
Berdasarkan kedua-dua versi cerita ini, dapatlah kita rumuskan bahawa Raden Mas ialah:
? seorang yang berdarah raja
? seorang anak yatim
? sangat taat kepada bapanya
? seorang wanita suci yang tahu menjaga kehormatan diri
? seorang yang sabar dan berhati mulia
Sifat merendah dirinya juga terserlah walaupun dia baru mendapat tahu akan keturunan di-rajanya, dia tetap tidak meninggi diri.
Walaupun ketepatan kedua-dua kisah ini tidak dapat dipastikan dengan fakta sejarah yang diakui, namun yang lebih penting ialah pengajaran yang dapat kita jadikan teladan. Kata pepatah, “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.”
Raden Mas merupakan lambang seorang wanita yang suci, taat dan berbudi. Betapa zalim ibu tirinya menyiksanya, dia tetap mahukan ibu tirinya meminta maaf kepada bapanya. Begitu juga, ketaatan kepada bapanya tidak luntur sehingga ke akhir hayat.
Kisah Raden Mas wajar dijadikan teladan warisan kerana hati budinya yang luhur dan yang tidak lupa diri walau dirinya seorang puteri raja. Mungkin, kerana sifat mulianya itu membuat orang-orang yang mengenalinya terasa benar akan kehilangannya. Lantas, memberikan perhatian yang istimewa ke atas kuburannya. Tradisi itu kemudian menjadi warisan turun-temurun sehinggalah nama Raden Mas tetap dikenang sampai hari ini.
Menjaga Makam Satu Anugerah
Raden Mas Ayu disemadikan di kaki bukit Mount Faber di kawasan Telok Blangah. Walaupun di kaki bukit, makam ini, seperti Makam Habib Nuh, terletak di atas sebuah tanah tinggi. Tetapi berbeza dari Makam Habib Nuh yang berada di dalam kawasan bandar, Makam Raden Mas berada di satu kawasan di hujung estet perumahan Telok Blangah. Kawasan sekelilingnya jauh dari kesibukan manusia. Makam itu sendiri dikelilingi oleh kawasan pokok-pokok tebal dan beberapa buah rumah privet.
Dalam filem Raden Mas yang diterbitkan pada tahun 1959, ada ditunjukkan keadaan makam ini pada waktu itu. Makam ini “dikawal” oleh 4 batang pokok di empat penjurunya. Dahan-dahan pokok itu sambung-menyambung di antara satu sama lain. Keadaannya seolah-olah melindungi makam ini. Pernah juga dibina satu struktur batu-bata lengkap dengan atap untuk melindungi makam ini.
Tidak dapat diketahui, jika makam ini pernah ada orang yang menjaga dan membersihkannya. Kalau Makam Habib Nuh dijaga dan dibaik-pulih, Makam Raden Mas terbiar dan tidak terurus sejak sekian lama.
Walaupun masih ada orang yang datang menziarahi Makam Raden Mas, tetapi tidak ada seorang pun yang ambil peduli mengenai keadaan sekitaran makam ini. Keadaan sekitarannya sangat usang, bersemak dan tidak selayaknya untuk sebuah makam. Malah, kawasan makam ini pernah dijadikan tempat menuntut ilmu batin yang karut-marut, tempat bermain muzik, berjudi dan entah apa kegiatan songsang lagi.
Hati mula terpaut
Di antara pelawat yang datang ke Makam Raden Mas ialah Encik Zainudin Atan. Beliau menziarahi makam ini sekali lagi kira-kira 4 tahun yang lalu setelah hatinya tergerak untuk ke sana. Kali terakhir beliau menziarahi makam ini ialah 20 tahun yang lalu.
Alangkah sedihnya hati Encik Zainudin Atan atau lebih dikenali sebagai Pak Daeng, 54 tahun, apabila beliau melihat keadaan Makam Raden Mas yang sangat daif. Beliau terkenang, “Bila saya naik (ke makam), keadaan sungguh menyedihkan. Lalang tumbuh tinggi dan terbiar. Anak tangganya sudah pecah-pecah.”
Tetapi, tidak seperti pelawat yang lain, hati Pak Daeng mula terpaut pada Makam Raden Mas itu. Beliau kembali semula ke sana sebulan kemudian. Keadaan makam tidak ada perubahan. Lalu hatinya terdorong untuk membersihkan kawasan makam itu. Beliau meminta persetujuan dan pandangan dari Habib Hassan (Imam Masjid Baalawi), Majlis Ugama Islam Singapura dan seorang Anggota Parlimen untuk membersihkan kawasan Makam itu.
Setelah semua pihak tidak membantah, beliau pun memulakan usaha untuk membersihkan sekitaran makam secara beransur-ansur. Namun, usaha itu bukan mudah. Banyak cabaran dan masalah yang perlu diatasinya terlebih dahulu.
Di antaranya ialah dana untuk membeli peralatan, tidak ada sumber air dan sumber eletrik, tangga menuju ke makam sudah pecah dan bagaimana mengangkut pasir dan batu-bata ke tempat makam serta berbagai-bagai persoalan lagi yang timbul satu demi satu.
Beliau menggembeling tenaga di kalangan segelintir kawan-kawannya untuk membantu. Begitu juga mereka berusaha untuk mencari dana samada dari para pelawat makam atau dikumpulkan sendiri.
Oleh kerana sumber tenaga dan dana terbatas, beliau merancang untuk membaiki sekitaran makam secara berperingkat-peringkat. Mula-mula dibersihkan semak dan lalang yang tinggi-tinggi. Kemudian membugar pokok-pokok besar yang sudah reput dan seterusnya satu demi satu.
Sejak hari beliau memulakan usaha itu, Pak Daeng menghabiskan masanya sehari suntuk di makam. Pernah beliau tidak pulang selama seminggu tetapi dirasakan baru dua hari. Walaupun dibantu oleh kawan-kawan, tetapi selalunya beliau yang melakukannya sendiri sebab hanya beliaulah yang berada di sana sepenuh masa.
Bayangkan, beliau seorang diri memikul pasir naik ke makam, memikul tong-tong berisi air, membugar akar pokok dan berbagai-bagai kerja berat yang dilakukannya sendiri tanpa peralatan canggih.
Tenaga kerja yang kurang serta modal kerja yang tidak mencukupi tidak menghalang Pak Daeng dari meneruskan usahanya. Malah, berbagai pengalaman yang ditempuhnya setiap hari di Makam menjadikan semangatnya semakin jitu untuk memulihkan keadaan makam.
“Satu hari, saya duduk di makam membaca surah Yasin. Tiba-tiba, angin bertiup kuat dan atap zinc terkopak dan jatuh ke luar makam,” cerita Pak Daeng. Beliau bersyukur, mujur atap itu tidak menghempapnya. Padanya, itu satu petanda bahawa makam ini perlu segera diperbaiki.
Setelah dirasakan modal untuk membaik-pulih sudah mencukupi, Pak Daeng mendapatkan khidmat kontraktor untuk melakukan kerja-kerja baik-pulih yang utama.
Beliau mahu membina sebuah bangsal untuk melindungi makam secara “open concept”. Bangsal itu tidak bertembok supaya makam dapat dilihat dari luar. Dapur-dapur kubur juga mahu ditinggikan serta kawasan keliling dan di halaman bangsal makam disimen. Seluruh kawasan makam itu dicat dengan motif warna kuning-hijau.
Usaha membaik-pulih yang dibuat oleh Pak Daeng dan kawan-kawannya serta kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor mengambil masa setahun untuk siap. Modal yang dibelanjakan sekitar S$15,000. Satu jumlah yang tinggi memandangkan wang itu dikumpulkan mereka sendiri tanpa ada peruntukan dari mana-mana pihak.
Empat kategori pelawat
Sebagai bekas seorang pelaut, sudah tentu berbagai-bagai pengalaman yang dilalui dan banyak negara pernah beliau lawati. Mungkin, menjadi seorang penjaga makam satu-satu kerja yang dapat memberinya ketenangan jiwa sebagai seorang pesara. Pak Daeng juga bersyukur, isteri dan anak-anaknya memahami keinginannya untuk selalu berada di Makam Raden Mas.
Sebagai penjaga makam, beliau bukan sahaja harus peka dengan keadaan sekitarannya tetapi yang lebih penting menjaga kesucian makam.
Pak Daeng menjelaskan, “Orang yg datang ada 4 kategori. Pertama, orang yang selalu datang untuk menurun atau menuntut ilmu seperti dukun atau bomoh. Kedua, orang yang datang kerana ada niat atau hajat. Ketiga, orang yang mahu cari nombor ekor atau menelek nasib dan yang keempat ialah orang biasa yang datang untuk ziarah.”
Menurut Pak Daeng, golongan yang paling ramai datang ialah dukun dan bomoh. Mereka datang pada waktu malam dan ramai yang membuat perkara-perkara yang karut, seperti, duduk di atas kubur, ada yang menghisap rokok di atas kubur, ada yang mengaku roh Raden Mas masuk ke dalam badannya dan macam-macam lagi amalan songsang. Ada juga bomoh yang menipu wang orang yang datang untuk meminta bantuan mereka.
Teguran Pak Daeng tidak diterima oleh golongan ini. Oleh sebab itu, Pak Daeng mengambil keputusan untuk memagar kawasan Makam Raden Mas dengan bantuan serta persetujuan pihak pengurusan taman Mount Faber.
Kini, Makam Raden Mas hanya dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang. Nampaknya, cara ini berkesan untuk membasmi kegiatan-kegiatan yang songsang serta dapat menjaga kebersihan makam.
Ada juga orang yang datang ke makam dan mengambil barang-barang di makam tanpa dipulangkan semula. Seperti gambar-gambar ulama, makalah-makalah sejarah mengenai Raden Mas dan Pangeran-Pangeran Jawa. Biasanya mereka berjanji untuk memulangkannya tetapi hingga kini tidak dikembalikan.
Pak Daeng memberitahu bahawa jika ada masa dan rezeki, beliau selalu ke Indonesia melawat makam-makam dan ulama-ulama di sana. Tempat yang sering beliau lawati ialah Banten, Jawa Barat. Bukan sekadar melawat, Pak Daeng juga sedang mengusahakan untuk membaik-pulih dua buah makam di Indonesia; satu di Tanjong Batu, Riau dan satu lagi di Banten.
Perubahan bagai mimpi
Sejak hari pertama Pak Daeng ke Makam Raden Mas, hatinya terpaut dan jiwanya tenang. Pak Daeng begitu akrab serta jiwanya sudah serasi dengan makam ini. Kadangkala, apabila beliau ke luar negara untuk beberapa hari sahaja, beliau akan mendapat alamat melalui mimpi yang menyuruhnya pulang menjaga Makam Raden Mas.
Berbagai cabaran dan dugaan sudah ditempuhnya selama beliau menguruskan makam. Beliau mengaku apa yang beliau lakukan sekarang bukannya dirancang, disuruh, bukan dibayar gaji atau bukan untuk menjadi masyhur, “Saya tidak pernah rancang untuk menjadi penjaga makam. Dulu, kalau boleh saya nak jadi orang kaya. Tak mahu susah.”
Beliau juga yakin, segala usaha yang dilakukannya di makam ini adalah satu anugerah Allah, bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat atau dipaksa. “Ini semua adalah anugerah. Kalau tidak, tak boleh. Paksalah diri jaga makam, tak boleh. Sesuatu itu semua dari anugerah Allah,” jelas Pak Daeng dengan rendah diri.
Kini, setelah 4 tahun menjaga Makam Raden Mas, Pak Daeng menyifatkan perubahan pada keadaan makam ini bagaikan satu mimpi. Tidak pernah beliau menyangka beliau akan mampu mencantikkan keadaan makam yang sangat daif satu masa dahulu. Mungkin dengan berkat keikhlasannya, Allah memberikan kemudahan.
Namun, Pak Daeng menyimpan satu hajat yang belum dicapainya. Beliau berhasrat agar dapat dilihatkan wajah Raden Mas atau Pangeran Agung samada di dalam mimpi atau secara jaga.
Samada hasratnya itu diizinkan Allah atau tidak, yang lebih penting, Pak Daeng wajar dihargai kerana jasa dan usahanya yang luhur untuk memperbaiki Makam Raden Mas yang sangat usang dahulu. Kini, barulah layak makam itu menjadi tempat persemadian seorang puteri raja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan